Pasukan Polis Bantuan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya menangkap seorang suspek yang terlibat dalam kes kecurian alat muzik di Dewan Tuanku Canselor (DTC), UPSI, yang berlaku pada November lalu selepas tamat Istiadat Konvokesyen Kali Ke-27 Tahun 2025.
Operasi mengintip dan mengesan telah dilaksanakan susulan kejadian yang dilaporkan. Suspek telah dikesan memasuki kawasan UPSI melalui Pintu Malim, hasil pemerhatian Pembantu Keselamatan yang bertugas di pintu masuk pada 22 Disember 2025.
Maklumat berhubung pergerakan tersebut telah dimaklumkan kepada penyelia bertugas untuk tindakan lanjut. Susulan itu, dengan kerjasama Unit CCTV UPSI, Pasukan Polis Bantuan UPSI telah melaksanakan operasi mencari dan menangkap secara terancang.
Suspek berjaya ditahan di kawasan Kompleks Akademik UPSI tanpa sebarang insiden. Suspek kemudiannya dibawa ke Pejabat Polis Bantuan UPSI, Kampus Sultan Azlan Shah bagi tujuan dokumentasi dan tindakan awal.
Seterusnya, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim telah membuat tangkapan semula sebelum membawa suspek ke IPD Muallim untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Kejayaan operasi ini mencerminkan tahap kecekapan, kesiapsiagaan dan kerjasama erat antara unit Polis Bantuan UPSI serta aset keselamatan seperti kamera litar tertutup(CCTV) dalam memastikan keselamatan dan perlindungan harta benda universiti sentiasa terpelihara.
Related Posts
UPSI Hantar 10 Anggota Bahagian Keselamatan Ikuti Kursus Polis Bantuan
Srikandi Bahagian Keselamatan UPSI Warnai Pasukan Pengiring Konvokesyen ke-27
Dua ‘Kuda Besi’ Baharu Perkasa Tugas Polis Bantuan UPSI
Tahniah Kepada Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2020
Memangku Tugas Ketua Pegawai Keselamatan
Talian Hotline Keselamatan Terkini

