UPSI Hantar 10 Anggota Bahagian Keselamatan Ikuti Kursus Polis Bantuan

Tanjong Malim Perak, 4 Januari 2026– Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menghantar seramai 10 orang anggota daripada Bahagian Keselamatan UPSI untuk mengikuti Kursus Asas Polis Bantuan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Air Hitam, Negeri Sembilan.

Kesemua pelatih telah melapor diri pada 4 Januari 2026 dan akan menjalani latihan intensif selama 63 hari dan tamat pada 7 Mac 2026. Penyertaan ini merupakan satu langkah strategik universiti dalam memperkukuh tahap keselamatan kampus serta meningkatkan profesionalisme anggota keselamatan UPSI selaras dengan keperluan semasa.

Kursus Asas Polis Bantuan ini merangkumi latihan fizikal dan mental yang menyeluruh, termasuk modul undang-undang kepolisan, kawad, disiplin, pengurusan keselamatan, kawalan orang ramai serta latihan penguatkuasaan. Latihan ini bertujuan melahirkan anggota Polis Bantuan yang berdisiplin tinggi, berintegriti dan cekap dalam melaksanakan tugas.

Menurut Pegawai Bahagian Keselamatan UPSI, INSP/PB Shaarin Jamaluddin, penyertaan anggota keselamatan dalam kursus ini amat penting bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan kemahiran anggota di lapangan.

“Penyertaan 10 orang anggota Bahagian Keselamatan UPSI dalam Kursus Asas Polis Bantuan ini diharap dapat memperkukuh pengetahuan, disiplin serta kemahiran penguatkuasaan anggota, seterusnya menyumbang kepada keselamatan kampus yang lebih terjamin,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Keselamatan UPSI, ASP / PB Mohd Fairuz Mislan turut menzahirkan harapan agar semua pelatih dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang latihan yang diberikan.

“Pihak universiti berharap agar semua pelatih dapat mengikuti kursus ini dengan penuh komitmen dan dedikasi. Ilmu serta pengalaman yang diperoleh kelak diharapkan dapat diaplikasikan secara berkesan dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan warga UPSI,” ujarnya.

UPSI komited untuk terus menjalinkan kerjasama strategik bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha memperkasakan keselamatan kampus dan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat, kondusif dan berdaya saing.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *