Tanjong Malim, 12 November 2025 – Bahagian Keselamatan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencipta sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya menampilkan dua anggota keselamatan wanita, Puteri Nor Saadah Md Sarif dan Noor Fatihah Abd Razak, dalam pasukan pengiring motosikal (escort) sempena Istiadat Konvokesyen UPSI ke-27 yang berlangsung baru-baru ini.
Kedua-dua anggota wanita berkenaan diberi tanggungjawab sebagai sebahagian daripada pasukan pengiring konvoi motosikal yang mengiringi pergerakan rasmi sepanjang majlis konvokesyen.
Penyertaan ini menandakan satu langkah progresif dalam memperkasa peranan wanita di Bahagian Keselamatan.
Menurut Ketua Bahagian Keselamatan, ASP/PB Fairuz Mislan, penyertaan anggota wanita dalam pasukan pengiring ini merupakan satu perkembangan positif yang mencerminkan keberanian serta kemampuan mereka dalam bidang keselamatan.
“Kita sentiasa memberi ruang dan peluang kepada anggota wanita untuk menunjukkan keupayaan mereka. Langkah ini membuktikan bahawa tugasan pengiring motosikal bukan lagi terhad kepada lelaki semata-mata,” katanya.
Sementara itu, Ketua Unit Operasi, Insp/PB Shaarin Jamaluddin, turut menzahirkan rasa bangga terhadap komitmen dan disiplin yang ditunjukkan oleh kedua-dua anggota berkenaan sepanjang latihan dan pelaksanaan tugas.
“Mereka menunjukkan disiplin tinggi dan semangat kerja berpasukan yang luar biasa. Ini menjadi contoh kepada anggota lain bahawa jantina bukan penghalang untuk melaksanakan tugas berat dengan cemerlang,” katanya.
Pasukan pengiring Bahagian Keselamatan UPSI memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran lalu lintas serta keselamatan pergerakan tetamu kehormat sepanjang majlis konvokesyen berlangsung.
Kehadiran dua anggota keselamatan wanita dalam pasukan ini turut mendapat perhatian warga kampus dan menjadi inspirasi kepada anggota lain.
Bahagian Keselamatan UPSI akan terus komited dalam melahirkan pasukan keselamatan yang berketerampilan tinggi serta memupuk nilai kesamarataan dan semangat profesionalisme dalam setiap aspek tugasan.
Related Posts
UPSI Hantar 10 Anggota Bahagian Keselamatan Ikuti Kursus Polis Bantuan
Dua ‘Kuda Besi’ Baharu Perkasa Tugas Polis Bantuan UPSI
Tahniah Kepada Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2020
Memangku Tugas Ketua Pegawai Keselamatan
Talian Hotline Keselamatan Terkini
Staf Baru Lapor Diri Di Bahagian Keselamatan

